Restoran DuluKita Keningau, Sabah: Dulu Kita Tidak Sambut Hari Lahir

Kami memilih Restoran DuluKita untuk memberikan kejutan sempena hari lahir insan tersayang. Sebenarnya, si dia sudah mengetahui tujuan kami datang menjamu selera di Restoran DuluKita. Namun begitu, ada sesuatu yang kami rahsiakan sebagai kejutan agar senyuman bahagia dapat terukir di wajahnya.

Sebaik sahaja hidangan yang dipesan tiba di meja, tiba-tiba lagu "Selamat Hari Lahir" bergema di seluruh restoran. Itulah kejutan yang telah dirancang oleh anak-anak untuk ibu mereka. Senyuman dan kegembiraan yang terpancar pada wajahnya menjadikan suasana lebih meriah dan bermakna.

Dahulu, kami tidak pernah menyambut hari lahir. Ibu dan ayah juga tidak begitu mengenali budaya sambutan hari lahir seperti yang diamalkan pada masa kini. Apa yang sering dilakukan hanyalah mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat. Ketika itu, Etuza masih kecil dan kurang memahami maksud sebenar doa selamat tersebut.

Pada zaman dahulu, keluarga tidak mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk meraikan hari lahir. Semuanya dilakukan secara sederhana dan penuh kesederhanaan. Kini, hari lahir menjadi satu tarikh yang istimewa dan diraikan dalam pelbagai cara mengikut citarasa masing-masing.

Ratu Hati

Usia semakin bertambah,
suatu anugerah yang wajar disyukuri.
Nikmat umur yang panjang merupakan hadiah terindah daripada Allah SWT.

Kini usia menghampiri angka lima puluhan,
menjadikan kita lebih reda dan bersyukur.
Pada usia ini, kita mencontohi perjalanan hidup ibu dan ayah,
mengharapkan kebahagiaan serta keberkatan daripada-Nya.

Moga perjalanan hidup ini sentiasa dipermudahkan.
Teruskan melangkah dengan sabar,
tabah dan berserah kepada-Nya.
Yakinlah bahawa setiap kebaikan yang dilakukan
akan menjadi amalan yang diberkati.

Buat insan tersayang,

Saya mendoakan agar sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik,
dilimpahi rezeki, kebahagiaan dan dipermudahkan segala urusan.
Semoga kehidupan yang dilalui sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang-Nya.

Bersyukurlah atas segala nikmat yang dikurniakan.
Perbanyakkan istighfar dan memohon keampunan kepada Allah SWT apabila terleka dan terlupa.
Semoga Allah mengampuni segala dosa dan mengurniakan usia yang panjang serta kehidupan yang penuh keberkatan.

Selamat Hari Lahir buat Ratu Hatiku.

Oleh: Etuza

Beberapa gambar berbicara dan merakamkan suasana indah ketika kami berada di Restoran DuluKita.